Monday, March 11, 2013

Pakai tudung tapi pakai short pants?



Assalamualaikum w.b.t. Artikel pada kali ini adalah dari idea rakan saya di twitter.

@aimielyana : @NajlaMohayidin aurat perempuan dan lelaki.. aurat perempuan dgn perempuan ;) sbb ade je pakai tudung besar tp rmh pakai hot pants aww

Seperti yang ditanyakan oleh saudari di atas : ada yang kat luar pakai tudung labuh-labuh/besar-besar tapi dalam rumah pakai short pants je.

Ada jugak yang kita dengar benda macam ni berlaku kan? Percaya tak? Ada je yang kat luar rumah dah elok dah pakai baju longgar-longgar. Tudung labuh-labuh. Tutup sana sini tapi kat dalam rumah seksi meksi. Cara berpakaian di luar rumah tu dah betul dah. Memang bagus dan mengikut syarak wahai muslimah dan muslimin sekalian. Tapi kita kena ingat. Aurat kita bukan di luar kawasan rumah sahaja. Tapi dalam rumah pun ada batas-batas aurat juga. Ada batas aurat antara lelaki dan perempuan. Ada batas aurat lelaki dengan lelaki. Dan ada batas aurat antara perempuan dengan perempuan. Kita kena ingat tu. Jangan hanya jaga aurat antara lelaki dan perempuan di luar rumah sahaja ye.

Aurat berasal dari perkataan Arab 'Aurah' yang bermakna keaiban. Dalam istilah feqah pula aurat diertikan sebagai bahagian tubuh badan seseorang yang wajib ditutup atau dilindungi dari pandangan.

Di dalam Islam terdapat beberapa keadaan di mana masyarakat Islam dibenarkan membuka aurat dan ia hanya pada orang-orang yang tertentu. Ingat ye pada keadaan dan orang-orang yang tertentu je.

PERINTAH MENUTUP AURAT

Perintah menutup aurat telah difirmankan oleh Allah s.w.t dalam surah Al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud :

"Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang jahiliyah zaman dahulu, dan dirikanlah sembahyang serta berikanlah zakat, dan taatilah kamu kepada allah dan rasulnya. Sesungguhnya allah (perintah kamu dengan semuanya itu) hanyalah kerana hendak menghapuskan perkara-perkara yang mencemarkan dari kamu wahai "Ahlu Bait", dan hendak membersihkan kamu sebersih-bersihnya (dari segala perkara yang keji)".

Dari penerangan ayat di atas, jelaslah kepada kita bahawa hukum menutup aurat adalah wajib sebagaimana wajibnya perintah mengerjakan sembahyang,berzakat dan perintah-perintah yang lainnya.

Dengan menutup aurat, wanita islam mudah dikenal dan dapat mengelak dari diganggu oleh mereka yang ingin mengambil kesempatan.

Wanita yang menutup aurat akan mudah dikenali. Jika sekiranya mereka membuka aurat dengan sewenang-wenangnya, maka dengan secara tidak langsung mereka cuba merangsang lelaki untuk mengganggunya. Maka berlakulah perkara-perkara sumbang,dengan itu juga akan timbullah berbagai-bagai fitnah dari masyarakat tentang diri mereka.


Dalam hal ini Allah s.w.t telah berfirman dalam surah Al-Ahzab ayat 59 yang bermaksud :

"Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu,anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu.Dan (ingatlah) Allah adalah maha pengampun lagi maha mengasihani".

Cuba kita tengok balik kes jenayah rogol yang sering berlaku. Selalunya wanita-wanita yang menutup aurat dengan rapi jarang kita dengar di rogol. Mungkin ada. Tapi jarang. Betul kan? Selalunya wanita yang menutup aurat dengan rapi ni akan dipandang dengan penuh hormat dan oleh lelaki-lelaki di sekeliling. Orang nak sentuh pun tak berani. Selalunya lah. Tapi tak semestinya. Mohon jangan salah faham.

BAHAGIAN AURAT

Islam telah menggariskan batasan aurat pada lelaki dan wanita.Aurat asas pada lelaki adalah menutup antara pusat hingga ke bawah lutut. Manakala aurat wanita pula adalah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.

Jadi bagi kaum Adam, mereka boleh buka mana-mana bahagian sesuka hati mereka asalkan dari pusat hingga ke bawah lutut tertutup. Faham? Tetapi bagi kaum Hawa, tidak boleh membuka mana-mana bahagian sesuka hati tetapi hanya muka dan tapak tangan. Saya ulang. Muka dan tapak tangan. Muka dan tapak tangan. Muka dan tapak tangan. Dah 3 kali ulang, kalau masih tak faham tu tak tau lah nak cakap macam mana lagi.

Aurat lelaki pada bila-bila masa dan apabila bersama-sama sesiapa pun adalah sama iaitu antara pusat dan lutut. Tetapi bagi wanita terdapat perbezaan dalam beberapa keadaan antaranya :

1. Aurat Ketika Sembahyang
Aurat wanita ketika sembahyang adalah menutup seluruh badan kecuali muka dan tapak tangan.

2. Aurat Ketika Bersama Mahram
Pada asasnya aurat seseorang wanita dengan mahramnya adalah antara pusat hingga ke bawah lutut. Walau pun begitu wanita dituntut agar menutup mana-mana bahagian tubuh badan yang boleh menaikkan syahwat lelaki walaupun mahram sendiri.

Perkara ini dilakukan bagi menjaga adab dan tatsusila wanita terutama dalam menjaga kehormatan agar perkara-perkara sumbang yang tidak diingini tidak akan berlaku.

Oleh itu, pakaian yang labuh dan menutup tubuh badan dapat menutup syahwat lelaki. Pakaian yang digalakkan walaupun semasa bersama mahram adalah pakaian yang lengkap dan labuh.

Syarak telah menggariskan golongan yang dianggap sebagai mahram kepada seseorang wanita iaitu :

1.Suami
2.Ayah,termasuk datuk belah ibu dan bapa
3.Ayah mertua
4.Anak-anak lelaki termasuk cucu sama ada dari anak lelaki atau perempuan
5.Anak-anak suami

Dalam perkara ini islam mengharuskan isteri bergaul dengan anak suami kerana wanita tersebut telah dianggap dan berperanan sebagai ibu kepada anak-anak suaminya.

6. Saudara lelaki kandung atau seibu atau sebapa
7. Anak saudara lelaki kerana mereka ini tidak boleh dinikahi selama-lamanya
8. Anak saudara dari saudara perempuan
9. Sesama wanita sama ada kaitan keturunan atau seagama
10. Hamba sahaya
11. Pelayan yang tidak ada nafsu syahwat
12. Anak-anak kecil yang belum mempunyai syahwat terhadap wanita. Walau pun begitu, bagi kanak-kanak yang telah mempunyai syahwat tetapi belum baligh, wanita dilarang menampakkan aurat terhadap mereka.

Al-quran dengan jelas menerangkan perkara ini dalam surah An-Nur ayat 31 yang bermaksud :

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka, atau bapa mertua mereka, atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan, dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka, dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya".

Imam Syafie berpendapat perhiasan yang dimaksudkan dalam ayat diatas terbahagi kepada dua makna iaitu:

1. Perhiasan yang bersifat semulajadi seperti muka,pipi,mulut,mata,bibir,hidung,kaki,betis,peha dan lain-lain anggota.
2. Perhiasan seperti pakaian,alat-alat solek,cincin,rantai leher, gelang kaki dan sebagainya.

Oleh itu, umat islam digalakkan mengawal diri agar tidak melanggar batasan-batasan yang telah digariskan oleh islam terutamanya dalam soal perhiasan dan berpakaian.

3.Aurat Ketika Di Hadapan Lelaki Bukan Mahram

Kewajipan menutup aurat dihadapan lelaki bukan mahram adalah amat penting dan perlu dilaksanakan oleh setiap wanita, bagi mengelak berlaku perkara yang tidak diingini seperti rogol dan sebagainya.

Perkara ini terjadi disebabkan memuncaknya nafsu para lelaki akibat dari penglihatan terhadap wanita yang memakai pakaian yang tidak senonoh dan mendedahkan sebahagian tubuh badan mereka.

Wanita yang bersuami pula, dengan terlaksanakan kewajipan ini, akan dapat membantu suami, yang mana dosa seorang isteri yang membuka aurat akan ditanggung oleh suami.

Oleh itu, wanita-wanita perlulah memahami batas-batas aurat ketika berhadapan dengan orang-orang yang tertentu dalam keadaan yang berbeza-beza.

4. Aurat Ketika Di Hadapan Wanita Kafir
Aurat wanita apabila berhadapan atau bergaul dengan wanita bukan islam adalah tutup keseluruhan tubuh badan kecuali muka dan tapak tangan.

Rasulullah s.a.w bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud : Abdullah bin Abbas ada menyatakan, Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang maksudnya :

" Tidak halal kaum wanita islam itu dilihat oleh kaum Yahudi dan Nasrani".

5. Aurat Ketika Bersama Suami.
Apabila seorang isteri bersama-sama dengan suaminya di tempat yang terlindung dari pandangan orang lain, maka islam telah memberi kelonggaran dengan tiada membataskan aurat pada suaminya.

Ini bererti suami dan isteri tiada sebarang batasan aurat terhadap mereka berdua. Isteri boleh mendedahkan seluruh anggota badannya bila berhadapan dengan suaminya.

Mu'awiyah bin Haidah mengatakan : "Aku pernah bertanya : Ya rasulullah , bagaimanakah aurat kami, apakah boleh dilihat oleh orang lain?". Baginda menjawab :"Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau hamba abdi milikmu". Aku bertanya lagi :" Ya rasulullah , bagaimanakah kalau ramai orang mandi bercampur-baur di satu tempat? " Baginda menjawab : "Berusahalah seboleh mungkin agar engkau tidak melihat auratmu". Aku masih bertanya lagi: " Ya rasulullah, bagaimanakah kalau orang mandi sendirian?" Baginda menjawab : " Seharuslah ia lebih malu kepada Allah daripada malu kepada orang lain". (Hadis Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud)

Okey jadi segala penerangan di atas sudah cukup isi nya. Cukup maklumat nya. Jadi bagi menjawab pertanyaan rakan saya yang di nyatakan di awal artikel : salah seandainya seorang gadis walaupun dia menjaga aurat dengan baik di luar rumah, tetapi apabila berada di dalam rumah dia memakai short pants. Salah kerana : aurat perempuan bersama perempuan adalah dari pusat hingga ke bawah lutut. Jadi, short pants yang anda maksud kan adalah yang berada di atas lutut. Jadinya tak boleh dan salah.

Andainya wanita tersebut berada di rumah, bersama ahli keluarga yang terdiri daripada abang dan ayah. Dan dia hanya menutup dari pusat hingga ke bawah lutut, ianya tidak salah. Kerana aurat bersama mahramnya adalah dari pusat hingga ke bawah lutut. Tetapi bagi mengelakkan kejadian yang tak di ingini berlaku seperti kes 'haruan makan anak' jadinya wanita disarankan untuk berpakaian sopan walaupun bersama mahramnya.

Jadinya, wanita perlu menjaga aurat dengan wanita sebaik mana mereka menjaga aurat mereka bersama lelaki. Seandainya anda boleh menjaga aurat anda di luar rumah dengan baik, jadi berusahalah juga untuk menjaga aurat anda di dalam rumah dengan baik. Saya harap apa yang telah saya rungkaikan ini dapat membantu para Hawa di luar sana supaya boleh memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Andai ada yang terkurang mohon ditambahkan. Andai ada yang tersilap, mohon ditegur dan perbetulkan. Saya manusia biasa. Punyai cela. Mohon teguran ya? Moga Allah redha. Jazakumullahu khaira kathira! Salam!

Sumber rujukan : Laman Web Rasmi Jais

Artikel ini dihasilkan oleh saya di HarianIslam.Com dan saya ingin sharekan di blog persendirian saya. Jakallah!

6 comments:

Unknown said...

Zaman sekarang mmg macam2 tafsiran manusia mengenai penutupan aurat dan kepada siapa yg halal utk melihatnya. Bahkan, definisi tutup aurat pun masih ramai yg tak faham...smoga Allah memberi hidayah kepada semua yg berkenaan yer...nice sharing

Unknown said...

ye. semoga mereka berusaha mencari hidayah Allah. Thanks :)

ilya maisara said...

bagus dear, sharing info ^_^

moga sama-sama beroleh manfaat, ni pun dikira berdakwah juga ni :)
wallahua'alam..

Unknown said...

insya Allah. sedang cuba kak. doakan. Amin :)

Anonymous said...

assalamualaikum ... maklumat yang berguna untuk semua ...

Unknown said...

waalaikumsalam. terima kasih. semoga bermanfaat.