Wednesday, July 17, 2013

Sebuah kisah Ramadhan : Kerana jubah itu.




Suatu hari, gadis kecil berumur 11 tahun itu demam panas. Ibu dan ayahnya mulai digamit kerisauan. Entah kenapa, panadol pun seolah-olah tidak memberikan kesan untuk mengurangkan demam anak mereka. 

Lantas si ibu dan sang ayah segera membawa anak gadis mereka ke hospital. 

Doktor memaklumkan si anak perlu ditahan di wad untuk rawatan lanjut. Katanya si kecil tersebut mengalami pendarahan dalam perut. Telahan awal mungkin kerana makan yang tidak menentu sebulan dua ni. 

Si ibu stay di hospital sementara si ayah pulang ke rumah mengambil barang-barang keperluan asas anaknya selama berada di wad. Pakaian dan sebagainya. 

--
Ayah membuka almari pakaian anaknya. Dilihat beg galas sekolah anaknya berisi sesuatu. Lantas dibuka zipnya dan diinterogasi. 

Tiba-tiba sang ayah menitiskan air mata. Dilihatnya ada dua pasang jubah. Disimpul kemas dengan reben tampak kreatif. Terselit nota kecil;

"Assalamualaikum abah, ma.

Ini hadiah Ramadan dari anakmu. Selama dua bulan ini adik mengikat perut untuk membelikan hadiah yang tak seberapa ini untuk abah dan ma. Jujur, adik iri hati pada seorang rakan ni. Waktu pulang dari sekolah, kelihatan ayahnya kemas menutup aurat dan ibunya manis bertudung menjemputnya dari sekolah. Senang hati ini melihatnya. Tapi abah datang dengan seluar pendek, ma dengan tshirt dan skirt singkat datang menjemput di sekolah.

Abah..ma..adik tidak bermaksud untuk menyakitkan hati abah dan ma. Terimalah hadiah dari adik ni untuk abah dan ma. Itupun jika abah dan ma sudi. 

Abah..ma..Kasih kita, kasih ke Syurga...

Tulus - anakmu."

---
Si ayah segera memecut ke hospital apabila menerima panggilan telefon dari si ibu. Katanya kritikal. 

Sesampainya di wad, kelihatan si ibu sudah teresak-esak. Dengan wajah hampa. Air mata duka.

---
Selepas beberapa hari dari kejadian itu, Kelihatan sepasang suami isteri dengan lengkap berjubah berjalan beriringan ke masjid untuk menunaikan solat terawih. 

Biasanya bertiga. Tapi kali ini hanya berdua. 
Di hati tetap bertiga. Sampai bila-bila.


**Cerita asli dari Syukri Tahir cuma tajuk di tambah oleh aku. hehe

No comments: